Berita Utama
Naik harga rokok RM10 -- FOMCA, Persatuan Pengguna Islam desak kerajaan kenakan cukai lebih tinggi
Oleh: NORILA DAUD
KUALA LUMPUR 7 April – Dua buah persatuan pengguna hari ini mendesak kerajaan mengenakan cukai jualan yang lebih
tinggi supaya sekotak rokok 20 batang yang dijual di negara ini berharga sekurang-kurangnya RM10.
Mereka percaya tindakan menaikkan cukai jualan tersebut mampu menghalang syarikat-syarikat rokok multinasional daripada
menurunkan harga rokok sesuka hati.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, harga
rokok yang tinggi berupaya mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, cukai jualan rokok yang rendah menyebabkan syarikat-syarikat rokok masih mampu menampung kenaikan cukai
tersebut.
‘‘Untuk menambah jualan, mereka sanggup pula menurunkan harga rokok.
“Kami percaya syarikat-syarikat itu boleh dihalang daripada berbuat demikian jika kerajaan menaikkan cukai jualan
rokok setinggi mungkin supaya sekotak rokok berisi 20 batang dijual pada harga RM10,’’ katanya kepada Mingguan
Malaysia.
Muhammad Sha’ani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek
yang memberi amaran kepada syarikat-syarikat rokok multinasional supaya menghentikan perang harga rokok sesama mereka dalam
tempoh dua minggu.
Soi Lek menegaskan, kerajaan akan campur tangan mengawal harga rokok jika perang harga rokok itu tidak dihentikan. Beliau
memberi contoh, ada rokok kini dijual serendah RM3 untuk kotak 20 batang.
Semalam, Soi Lek menemui wakil-wakil syarikat rokok multinasional JT International (JTI), British American Tobacco (BAT)
serta Philip Morris di Melaka bagi menyatakan amaran kerajaan itu.
Menurut Muhammad Sha’ani, sekiranya syarikat-syarikat rokok mampu mengurangkan harga rokok, ia bermakna kenaikan
cukai pada kadar 50 sen sehingga RM1 sekotak masih boleh ditampung oleh syarikat-syarikat berkenaan.
Harga rokok, kata beliau, sepatutnya dinaikkan pada kadar yang benar-benar memberi kesan kepada perokok.
“Hanya jika perokok benar-benar terbeban baru mereka terpaksa meninggalkan terus tabiat merokok dan ini kelak akan
mengurangkan jumlah orang yang menghisap rokok,” kata Muhammad Sha’ani.
FOMCA berpendapat tindakan syarikat-syarikat rokok menurunkan harga rokok akan menghalang usaha kerajaan khususnya Kementerian
Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara ini dan seterusnya membanteras kes-kes penyakit berkaitan rokok di kalangan
rakyat.
Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin pula menyifatkan tindakan syarikat-syarikat
rokok multinasional menurunkan harga rokok sebagai keterlaluan dan mencabar kerajaan.
‘‘Mereka kena patuh kepada polisi kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok dan bukan menurunkan harga rokok
bagi menambah jualan,’’ katanya.
Noor Nirwandy menyatakan sokongan terhadap arahan Kementerian Kesihatan agar syarikat-syarikat rokok multinasional menghentikan
perang harga rokok dalam tempoh dua minggu.
Katanya, kerajaan juga harus menggariskan peraturan yang lebih jelas kepada syarikat pengeluar rokok agar perkara yang
sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Sementara itu, firma pengimport rokok Bracco Resources Sdn. Bhd. berpendapat, syarikat-syarikat rokok tiada asas kukuh
untuk menurunkan harga rokok melainkan untuk memancing pelanggan membeli rokok keluaran mereka.
Pengurus Besar syarikat itu, Buhari Mohamed berkata: ‘‘Tiada asas untuk harga rokok diturunkan kerana kadar
cukai sudah ditetapkan melainkan pengeluar membeli harga tembakau pada kadar yang murah atau memperolehnya secara percuma.’’
Pengguna hari ini, kata Buhari, amat berhati-hati dalam berbelanja dan kerana itu sekotak rokok berharga RM7 kurang mendapat
sambutan.
08/04/2007-From Utusan Malaysia
Swasta, awam perlu erat
Oleh: FAUZI JAAFAR
KUALA LUMPUR 7 April – Konsep persyarikatan Malaysia boleh diperkukuhkan jika sektor awam dan swasta menjalin persahabatan
yang lebih erat dalam semua bidang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, hubungan yang lebih rapat sedikit sebanyak akan dapat mengatasi masalah yang timbul membabitkan
kedua-dua sektor itu.
‘‘Sebagai contoh, idea dan falsafah yang boleh merapatkan hubungan tersebut dapat dilakukan melalui permainan
golf persahabatan,’’ kata beliau.
Abdullah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Golf Piala Perdana Menteri
di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara di sini hari ini.
Turut bertanding dalam kejohanan itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi Resort World,
Tun Hanif Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Pertandingan itu melibatkan 27 pasukan dengan 13 daripadanya jabatan kerajaan manakala selebihnya syarikat-syarikat swasta
seperti Maybank, Maxis, Proton, Resort World dan Putrajaya Holding.
Menurut Abdullah, hubungan persahabatan antara kedua-dua belah pihak juga akan memberi keuntungan kepada negara dan rakyat.
Perdana Menteri turut menceritakan kesibukan jadual tugasnya semasa berucap pada majlis tersebut.
‘‘Malam tadi saya menghadiri Makan Malam Fantasy Gala Petronas Grand Prix Malaysia bersama Yang di-Pertuan
Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
‘‘Tetapi saya beritahu Yang di-Pertuan Agong, saya perlu bermain golf esok pagi dan baginda memberitahu, baginda
juga ada permainan golf.
‘‘Rupa-rupanya baginda bermain golf dengan duta-duta manakala saya bermain golf dengan anda semua,’’
katanya.
Abdullah berkata, selepas majlis itu beliau akan menghadiri mesyuarat dengan Jawatankuasa Formula Satu Grand Prix Malaysia
Petronas sebelum berlepas ke Langkawi bagi menghadiri Pesta Air Nasional.
Terdahulu, Sidek dalam ucapannya berkata, pertandingan itu merupakan kejohanan kali keenam KPGA bertujuan mengeratkan hubungan
antara perkhidmatan awam dengan sektor swasta.
‘‘Semua pendapatan daripada pertandingan ini akan disalurkan kepada Tabung Bencana Negara,’’ kata
beliau.
08/04/2007-From Utusan Malaysia
Syarikat milik Proton labur RM100j hasilkan acuan mesin
Oleh: ABDUL RAZAK DIN
TANJUNG MALIM 7 April – Miyazu Malaysia Sdn. Bhd. (Miyazu) akan melabur sebanyak RM100 juta dalam tempoh beberapa
tahun akan datang bagi mengurangkan pergantungan Malaysia kepada industri pembuatan peracuan mesin dari luar negara dan kepakaran
asing.
Miyazu, syarikat gabungan antara Proton Holding Bhd. (Proton), Miyazu Seisakusho dari Jepun dan Sojitz Corporation, akan
menghasilkan sebanyak 400 buah peracuan mesin automotif setahun.
Usaha sama Proton dan Miyazu itu adalah hasil visi jangka panjang kerajaan untuk mempertingkatkan aktiviti ekonomi dan
perindustrian bukan sahaja untuk Malaysia malah bagi negeri Perak dan Tanjung Malim khususnya.
Pengarah Urusan Miyazu, Akio Osawa berkata, Malaysia kini mengimport 90 peratus daripada keperluan peracuan automotifnya
dari luar negara sehingga mengakibatkan negara ‘kehilangan’ sebanyak RM250 juta dalam setiap pembangunan model
baru industri keretanya.
‘‘Miyazu yang kini menjadi ahli kumpulan Proton bercadang mengurangkan pergantungan import peracuan Malaysia
kepada 60 peratus menjelang tahun 2012,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kilang Miyazu Malaysia di sini
hari ini.
Pelancaran kilang yang berharga RM30 juta itu disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali
dan turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin.
Katanya, dengan pengurangan pergantungan itu, Malaysia dapat menjimatkan perbelanjaan importnya untuk keperluan peracuan
mesin sebanyak RM150 juta setahun bagi setiap pelancaran baru model Proton.
‘‘Kini Miyazu mampu menyediakan keperluan untuk reka bentuk, kejuruteraan dan pengeluaran peracuan dalam industri
automotif di seluruh dunia,” katanya.
Osawa berkata, Miyazu berminat untuk membuka kilang operasinya di Proton City kerana bandar automotif berkenaan mempunyai
masa depan cerah dan boleh membantu Malaysia dalam industri pengeluaran peracuan automotif.
Katanya, kilang Miyazu yang dibina di sini menunjukkan komitmen syarikat itu dalam memperkukuhkan pelaksanaan Proton City
dan ia juga merupakan lokasi yang sesuai.
‘‘Proton City memberi nilai kepada vendor automotif kerana syarikat kereta kebangsaan Malaysia itu menyediakan
kawasan seluas 129.5 hektar tanah dan 100 lot untuk menempatkan Taman Vendor bagi membolehkan vendor beroperasi dengan selesa.
‘‘Kami menggalakkan vendor untuk menggunakan kemudahan yang disediakan buat mereka,” katanya.
Indeks jenayah KL naik 40 peratus
Oleh: UMAVATHI RAMAYAH
KUALA LUMPUR 7 April – Kadar indeks jenayah membabitkan kes samun, penagihan dadah, perjudian dan gejala sosial di
Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan 40 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, Sentul menjadi daerah tertinggi kadar jenayah
bagi kes ragut manakala Dang Wangi dan Putrajaya tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Sehubungan itu, beliau mahu Polis Kuala Lumpur mengambil tindakan drastik bagi mengatasi masalah itu.
“Kerajaan serius dalam menangani masalah ini, lebih-lebih lagi pada Tahun Melawat Malaysia,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan pertandingan ujian kemahiran menembak sempena 200 tahun pasukan polis di Kompleks Lapang Sasar
Briged Tengah Pasukan Gerakan Am di Cheras di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, ketua-ketua jabatan kerajaan dan beberapa pegawai kanan agensi
awam.
Antara acara yang dipertandingkan dalam ujian itu ialah revolver individu dan tembak piring besi secara berpasukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran yang memandang serius kenyataan Mohd. Johari itu
berkata, beliau akan berusaha habis-habisan menangani masalah jenayah yang wujud di daerah Sentul.
“Saya memandang serius kenyataan beliau (Mohd. Johari) dan akan bertindak segera kerana ia boleh menjejaskan imej
negara,” katanya ketika dihubungi.
Kumaran mengulas kenyataan Mohd. Johari bahawa Sentul merupakan antara daerah yang mencatatkan kes jenayah tertinggi dalam
tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Sukan
Liga Super: Kedah selesa, Perak kena kejutan
KUALA LUMPUR – Kedah terus mengungguli persada teratas dengan bergaya mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan
Terengganu 3-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Kemenangan tersebut memastikan Kedah memungut 35 mata untuk terus menjarakkan diri daripada saingan terdekat Brunei DPMM
yang tewas 3-2 kepada Perlis.
Kedah nyata garang sebaik babak bermula, hanya 11 minit permainan berlangsung Marlon Alex James mencipta jaringan awal
setelah menerima lambungan cantik Nelson Sam Martin.
Marlon mengukuhkan kedudukan Kedah apabila menyempurnakan bola muntah Md. Sharbini yang gagal menangkap kemas sepakan percuma
Nelson pada minit ke-42.
Gol ketiga Kedah menyusul pada minit ke-78 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Nelson setelah Md. Sharbini
menjatuhkan Marlon di kotak penalti.
Di Stadium Utama, Perlis melangkah ke tangga ketiga memintas Perak setelah menewaskan Brunei DPMM FC 3-2.
Perlis bertindak garang seawal minit ketiga hasil ledakkan penyerang muda Azlan Ismail.
Brunei DPMM FC tersentak dengan gol kedua Perlis juga menerusi Azlan tiga minit sebelum rehat namun pelawat merapatkan
jurang pada minit ke-47 hasil jaringan Alejandro Andreas Tobar.
Begitupun Brunei mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Alejandro pada minit ke-61 tetapi Perlis kembali mendahului menerusi
jaringan ketua pasukan Mohd. Nazaruddin Md. Zin pada minit ke-81.
Di Stadium Larkin, kejutan berlaku apabila Johor FC melakarkan kemenangan paling manis apabila berjaya menewaskan Perak
1-0.
Gol kemenangan Johor FC dijaringkan oleh Walter Samuel di minit ke-73 menerusi tandukan cantik menewaskan penjaga gol Perak,
Mohd. Hamsani Ahmad.
Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menarik nafas lega apabila meraih kemenangan bergaya membelasah Sarawak 5-0.
Gol-gol Pulau Pinang dijaringkan oleh Mat Saiful Mohamad (m-9), Farizal Rozali (m-34), M. Prakash (m-46), Ahmad Norafandy
Yatim (m-90+1) dan Azrul Ahmad (m90+2).
Di Stadium Darul Makmur, Pahang mengalami kekalahan kelima apabila tewas 3-0 kepada TMFC.
Zainuddin Ariffin meletakkan TMFC di depan menerusi jaringan pada minit ke-24 dan gol kedua pula menyusul melalui pemain
import Chaswe Nsofwa tiga minit sebelum rehat.
Gol ketiga TMFC adalah sumbangan Effendi Malek (m-77).
Di Stadium Shah Alam, Selangor mengutip tiga mata berharga apabila menewaskan Negeri Sembilan Naza 2-1.
Pelawat mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Liew Kit Kong pada minit ke-15.
Namun Selangor bangkit mengikat kedudukan menerusi Mohd. Amri Yahyah lima minit sebelum rehat dan gol kemenangan dijaringkan
oleh Fadzli Saari pada minit ke-83.
Chelsea rapatkan jurang
LONDON - Chelsea meneruskan tekanan keatas pendahulu bola sepak Liga Perdana England, Manchester United dengan kemenangan
1-0 keatas Tottenham Hotspur, semalam.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Chelsea merapatkan jurang dengan tiga mata di belakang United yang beraksi sejam
kemudian menentang Portsmouth.
Jaringan Ricardo Carvalho pada minit ke-52 membantu kemenangan pasukan juara, Chelsea yang dilihat menguasai permainan
di Stamford Bridge ketika berdepan dengan lawannya, yang baru pulang dari Sevilla selepas aksi Piala UEFA, 48 jam sebelum
itu.
Gol yang memecah kebuntuan itu diperoleh selepas John Obi Mikel melakukan hantaran bola di bahagian tengah untuk Carvalho.
Pemain tengah Portugal itu berjaya melarikan bola dengan melepaskan rembatan rendah melepasi jangkauan Paul Robinson, untuk
gol peribadi ketiganya musim ini.
Chelsea memasukkan pemain tengah England, Joe Cole yang beraksi buat kali pertama dalam Liga Perdana sejak kakinya patah
November lalu.
Sementara itu dalam perlawanan lain Liverpool turut mengukuhkan kedudukan untuk mencabar United apabila meraih kemenangan
2-1 ke atas Reading.
– AFP
Massa di hadapan

|
AKSI menarik Felipe Massa daripada pasukan The Scuderia Ferrari Marlboro sewaktu
sesi kelayakan Grand Prix Formula Satu Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam. Massa berjaya merebut petak depan
untuk memulakan perlumbaan sebenar hari ini.
|
SEPANG – Felipe Massa berpeluang menebus nasib malangnya di Australia apabila mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan
semalam untuk merebut petak depan pada perlumbaan sebenar Grand Prix Malaysia Petronas di Litar F1 Sepang yang berlangsung
hari ini.
Massa mencatat masa satu minit 35.043 saat untuk memintas catatan masa pelumba McLaren, Fernando Alonso pada saat-saat
akhir sesi kelayakan ketiga bagi memaksa juara dunia 2006 itu bermula dari petak kedua.
Peminat juga boleh menjangkakan persaingan sengit bakal berlaku pada edisi kesembilan Grand Prix Malaysia apabila seorang
lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen akan bermula dari petak ketiga manakala rakan sepasukan Alonso dalam McLaren, Lewis Hamilton
keempat.
Apa yang pasti pertarungan dua penjuru Ferrari-McLaren sekali lagi bakal berulang sama seperti pada GP Australia di Melbourne,
18 Mac lalu.
Ini kali kedua Massa mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan tetapi pada perlumbaan pembuka tirai musim 2007 di Melbourne,
Australia tiga minggu lepas dia terpaksa bermula dari petak belakang setelah terpaksa menukar enjin kerana masalah gear.
Dia turut mencatatkan masa terpantas pada kedua-dua sesi latihan bebas kelmarin.
‘‘Saya mengalami masalah di Melbourne tetapi tetap gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan di
tempat kelima. Tetapi di sini (Litar Sepang) keadaannya sungguh getir dan saya berharap dapat mengekalkan kedudukan saya.
‘‘Memang saya berada di bawah tekanan hebat pada saat-saat akhir. McLaren sungguh kompetetif hari ini dan sesi
kelayakan hari ini sungguh sengit jadi kita boleh menjangkakan persaingan yang menarik esok (hari ini),” kata Massa.
Katanya lagi, agak sukar baginya untuk mencatat masa yang lebih baik kerana keadaan trafik yang sibuk.
“Pada satu ketika, hujan mula rintik-rintik dan saya menjangkakan keadaan akan menjadi lebih lebat tetapi nasib baik
ia tidak berlaku,” katanya.
Pelumba dari Brazil itu menjelaskan bahawa dia telah membuat persediaan menyesuaikan diri dengan cuaca panas Malaysia sejak
dua minggu lepas untuk “berada di dalam sauna” di Sepang.
‘‘Berlumba di sini seperti berada di dalam sauna. Saya telah membuat persiapan sejak dua minggu lepas untuk
menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan pada malam nanti saya perlu minum banyak air,” ujarnya.
Juara dunia termuda pada usia 24 tahun pada 2006, Alonso juga gembira dengan pencapaiannya semalam.
“Kami bermula dari kosong, dan berusaha menyesuaikan diri dengan tayar Bridgestone. Saya harap dapat menyempurnakan
tugas dengan baik esok,” katanya, yang mencatat masa 1:35.310 semalam.
Ketika muncul juara dunia dua kali berturut-turut, Alonso memandu untuk pasukan Renault yang menggunakan tayar Michelin.
Untuk musim ini, hanya Bridgestone menjadi pembekal tayar kepada semua pasukan.
‘‘Bagaimanapun kita perlu berfikiran realisik. Ferrari begitu kuat dan kami akan cuba mempertingkatkan kereta
kami. Namun, saya menjangkakan perlumbaan yang sangat sengit berbanding di Melbourne,” ujar pelumba dari Sepanyol itu.
Juara di Australia, Raikkonen pula tidak bimbang dengan keadaan keretanya yang pada satu ketika nampak bermasalah semalam.
‘‘Enjin saya okey, tiada apa-apa masalah dengannya tetapi saya harap akan mendapat set up yang betul esok,”
kata pemandu dari Finland itu, yang mencatat masa 1:35.479.
Pelumba sensasi, Hamilton dari Britain pula mencatat masa 1:36045 manakala BMW Sauber kelihatan sudah berjaya mengatasi
masalah kereta mereka apabila Nick Heidfeld merebut petak kelima setelah merakamkan masa 1:36.543s.
Komputer
Symantec perkenal Norton 360
Oleh Zef Othman
Teknologi antivirus dilengkapi 'anti-spyware', firewall, anti-phishing, salinan sandaran dan penambah baik
bagi kurangkan ancaman virusSYMANTEC Corp (Symantec), memperkenalkan produk penyelesaian komprehensif teknologi
antivirus, Norton 360 yang dilengkapi dengan ‘anti-spyware’, firewall, anti-phishing, salinan sandaran dan penambah
baik bagi mengurangkan risiko serta ancaman yang diterima daripada penceroboh sistem rangkaian komputer atau virus.

Penyediaan produk seumpamanya dapat mengurangkan keperluan untuk membeli, memiliki dan menguruskan pelbagai produk perlindungan
bagi satu sistem komputer. Ia berperanan untuk melakukan aktiviti diagnosis dan memperbaiki masalah komputer biasa, seterusnya
meningkatkan prestasi serta kelajuan komputer peribadi pemilik.
Pengarah Kanan Pengguna serta Perusahaan Kecil dan
Sederhana Asia Pasifik dan Jepun Symantec, David Freer, berkata penggunaan Norton 360 itu mampu mengembalikan keyakinan pengguna
bagi melakukan urus niaga dalam talian.
“Ia direka dengan kemampuan untuk beroperasi secara automatik, hasil
pengenalan perlindungan komprehensif walaupun tugasan sedang dilaksanakan pada latar belakang sistem pengguna.
“Produk
itu akan dapat membantu dan meningkatkan keyakinan pengguna Internet menerusi teknologi bersepadu dalam menyediakan perlindungan
maksimum,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, Norton 360 dihasilkan berasaskan
pendekatan menghasilkan produk yang mampu beroperasi secara automatik, dilengkapi dengan pelbagai fungsi dan berkemampuan
menyediakan prestasi penyampaian bertenaga.
Norton 360 menawarkan perlindungan untuk lima kategori iaitu keselamatan
komputer peribadi (pc), keselamatan urus niaga, salinan sandaran serta pemulihan, menambah baik komputer peribadi dan sokongan
bersepadu.
Bagi keselamatan komputer peribadi, Norton 360 mempunyai ciri perlindungan yang mampu menangkis ancaman
dan risiko dalam talian seperti virus, ‘spyware’ dan penceroboh sistem rangkaian komputer, yang turut dilengkapi
firewall, penilaian kepada sistem mudah terdedah dan pengesanan rangkaian.
Untuk aspek keselamatan urus niaga pula,
penyelesaian semua dalam satu menyediakan perlindungan daripada anti-phishing dengan memanfaatkan pengguna yang sering membuat
pembelian Internet, aktiviti perbankan dan pengurusan internet apabila ia melindungi identiti dalam talian pemilik.
Malah,
ia dilengkapi ciri mengesahkan ketulenan laman web yang sering diserang phishing.
Pelaksanaan aktiviti salinan sandaran
serta pemulihan, berkeupayaan melakukan salinan sandaran dalam talian menerusi akaun Norton pengguna termasuk inkripsi ketika
fail dipindahkan dan pada pelayan storan.
Manakala, proses menambah baik komputer peribadi akan mengenal pasti dan
membuang kandungan berselerak seperti fail sementara Windows, fail sementara Internet dan sejarah fail Internet.
Ciri
sokongan bersepadu pula berperanan untuk menyelesaikan isu biasa, diagnosis komputer secara automatik dan memberi panduan
kepada pengguna bagi menyelesaikan isu biasa menerusi telefon, perbualan siaran langsung serta emel.
Produk yang sudah
berada di pasaran ditawarkan pada harga RM289 termasuk perkhidmatan langganan setahun yang dilengkapi dengan maklumat perlindungan
Syamantec.
Yahoo tawar storan mel tanpa had
Ramli Abdul Samad
YAHOO, merancang menawarkan storan tanpa had bagi mel elektronik (e-mel) kepada penggunanya mulai Mei
ini, memansuhkan kebenaran simpanan data bersaiz satu Gigabyte yang diberikan kepada mereka sekarang.
Pemansuhan itu dibuat kerana Yahoo bertindak positif dan mengambil kira perkembangan pertumbuhan kepada
pengguna untuk menggunakan storan foto, muzik dan video melalui e-mel; semua itu memerlukan storan yang besar.
Sebagai
bandingan Google menyediakan 2.8 Gigabyte storan data manakala Microsoft Corp bersaiz dua Gigabyte secara percuma sebesar
2 Gigabyte.
Dengan terlaksananya perancangan baru itu nanti, maka pengguna e-mel Yahoo tidak perlu lagi memadamkan
e-mel lama bagi laluan storan untuk e-mel baru kerana had storan kini sudah tiada had lagi.
Pesanan e-mel boleh disimpan
untuk selama-lamanya. Satu sebab had storan itu boleh dilakukan adalah kerana kos storan sudah banyak menurun. Komputer peribadi
baru boleh menyediakan storan sehingga satu trilion bit data sementara pengguna iPod boleh mengisikan 100 jam video di dalamnya.
Kartun